Pages

Saturday 12 May 2012

Kenali Rasulullah 2: Quraisy Mencabar Rasulullah S.A.W



Rasulullah S.A.W  giat berdakwah kepada kaumnya siang dan malam tanpa rehat. Sehinggalah tiba suatu masa, Quraisy mengajak baginda berbahas tentang agama.


Mereka berkata, “Wahai Muhammad, kamu mengaku kamu rasul, tunjukkanlah kepada kami mukjizat kamu seperti nabi-nabi sebelum kamu supaya kami boleh beriman kepadamu.”
Muhammad berkata, “Aku diutuskan dengan al-Quran”.

Ketika itu, Walid, orang yang paling fasih di kalangan mereka berasa kagum dan sudah mengakui bahawa al-Quran adalah mukjizat setelah tertarik dengan keindahan bahasanya.

Quraisy berkata  lagi, “Kami mahu kamu keluarkan mata air di Mekah ini. Biar kami senang mendapat air dan Mekah menjadi hijau dan subur”.

Muhammad membalas, “Itu kuasa Allah. Kalau Allah mahu, Allah boleh lakukan”.

Mereka berkata lagi, “Sekiranya kamu mahu kami, hidupkan kembali ayah-ayah kami dan datuk-datuk kami yang telah mati, hidupkan kembali Qusai bin Kilab, baru kami akan beriman kepadamu”.

Muhammad berkata, “Allah yang berhak menghidupkan orang yang telah mati”.

Mereka meneruskan lagi hujah mereka, “ Wahai Muhammad, bagaimana kami mahu mengikut kamu sedangkan kamu miskin. Mintalah supaya Tuhanmu menjadikan kamu kaya barulah kami akan mengikut ajaranmu”.

Muhammad berkata, “Agama dan kebenaran itu bukan diukur dengan harta benda”.
Mereka meneruskan hujah mereka untuk berdalih-dalih bukannya untuk beriman. Sehingga mereka berkata bahawa Muhammad itu seorang yang penipu kerana bagi mereka tidak ada  satu pun soalan yang mampu dijawab oleh Rasulullah.

Lantas, bangun Abdullah bin Umayyah bin al-Mughirah, pembesar Quraisy dengan berkata, “ Aku tidak akan beriman kepadamu selagi aku tidak melihat engkau terbang di udara, itu pun tidak cukup, engkau mesti sampai ke langit di depan mataku, itu pun tidak cukup, engkau mesti bawa turun kepadaku sebuah kitab daripada langit, kitab yang boleh kupegang dengan tangan ku sendiri”.

Kemudian, dia menyambung lagi, “Walaupun engkau mampu melakukan semua itu, aku akan tetap berkata engkau ini ahli sihir”.

Itulah antara sebab Rasulullah tidak menjawab segala persendaan mereka. Walhal, Rasul-rasul sebelum Baginda juga datang dengan membawa mukjizat yang lahir dan dapat dilihat oeh semua kaum mereka namun mereka tetap tidak beriman. Apa yang mereka katakan itu hanyalah untuk berbahas.

Di dalam surah al-Isra’ : 59, Allah berfirman, “Dan tiada yang menghalang Kami daripada menghantar turun mukjizat yang mereka minta itu melainkan kerana jenis mukjizat itu didustakan oleh kaum-kaum yang telah lalu; dan diantaranya Kami sudahpun  memberikan kepada kau Thamud unta betina sebagai mukjizat yang menjadi keterangan yang nyata, lalu mereka berlaku zalim kepadanya; dan biasanya Kami tidak menghantar turun mukjizat-mukjizat itu melainkan untuk menjadi amaran bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya jika mereka tidak beriman”. 

Ekoran itu, Allah mengutuskan malaikat Jibril kepada Rasulullah untuk bertanya kepada Baginda sama ada Rasulullah masih lagi bersabar atau mahu mendatangkan segala permintaan mereka. Namun, sekiranya mereka masih lagi tidak beriman, Mekah akan dimusnahkan.

Rasulullah memilih untuk tetap bersabar bahkan berdoa semoga Allah akan melahirkan daripada zuriat mereka orang-orang yang beriman kepada Allah.

p/s: bersyukurlah kita kerana dilahirkan sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W...sama2 lah kita berdoa agar   
       Rasulullah sudi menyambut tangan kita pada hari yang telah dijanjikan...ya Syafi'i..khuz biyadi...

No comments:

Post a Comment